Sabtu, 16 Maret 2013

Nikmat Dan Azab Seteguk Air

Ulama sufi Syaqiq Al Balkhi pernah bertanya pada Khalifah Harun Ar
Rasyid yang memimpin Daulah Bani Abbasiah, katanya "Wahai Khalifah!
sekiranya tuan hamba sedang berada di tengah padang pasir yang luas
terbentang dengan kepanasan yang membakar kulit serta merasa kehausan
yang amat sangat. Tiba-tiba datang seseorang yang menawarkan seteguk
air, berapakah tuan sanggup bayar untuk air itu?" , Jawab Khalifah
Harun, "Apa saja yang dikehendakinya olehnya, aku akan bayar."

"Jika orang itu meminta separuh dari kerajaanmu, bagaimana?" , Jawab
Khalifah, "Aku akan penuhi permintaannya itu." , Soal Syaqiq lagi,
"Baiklah, sekarang Khalifah telah selamat dari maut kerana mendapat
seteguk air. Seandainya air yang Khalifah minum itu tiba-tiba tidak
boleh keluar(buang air kecil) dan jika dibiarkan akan menyebabkan
penyakit yang membawa maut, lalu datang seorang pakar yang sanggup
mengubatinya tetapi ia juga meminta bayaran yang sangat tinggi seperti
separuh dari kerajaanmu yang masih ada, adakah Khalifah akan setuju?"

Jawab Khalifah, "Tentu aku setuju." Kata Syaqiq, "Sekarang Khalifah
telah tahu nilai nilai kerajaan yang Khalifah tadbir sekarang ini
hanyalah boleh dibeli dengan seteguk air, jadi kenapa kita mahu bermegah
dengan kemewahan yang kita miliki, sedangkan pada sisi ALLAH ia tidak
memberi apa-apa makna pun. Bukankah besar dan mahalnya nikmat kesihatan
yang dianugerahkan oleh ALLAH kepada setiap makhlukNYA, oleh itu jadilah
kita hamba yang bersyukur
."

Tidak ada komentar:

Posting Komentar